Alumni    •    Vacancy

BELAJAR URUS JENAZAH

10UUM ONLINE: Belajar tentang tatacara pengurusan jenazah tidak sesukar yang digambarkan serta memberi banyak pengajaran dan hikmah sekurang-kurangnya sebagai bakti terakhir seorang anak kepada ibu ayah apabila dijemput menghadap Ilahi. 

Pegawai Hal Ehwal Islam, Nor Azlinah Zaini berkata, apabila roh berpisah dari tubuh, maka jasad itu dipanggil jenazah.

Jelasnya, kewajipan orang yang hidup terhadap jenazah seperti memandikan, menkafankan, menyembahyangkan dan mengebumikan jenazah. 

“Sebaik sahaja seseorang meninggal dunia, perkara yang perlu dilakukan adalah memeriksa mata, mulut, tangan dan kaki serta menghebahkan kematian.

“Selain itu kita perlu membersihkan najis, mengurut sendi dengan minyak zaitun seperti jari, siku, lutut dan kaki agar mudah ketika dimandi dan dikapankan, menutup aurat, memakai wangian dan meletakkan benda berat di atas perut agar perut tidak kembung,” ujarnya.

Mayat hendaklah ditutup agar auratnya tidak terdedah, diletakkan di tempat yang lebih tinggi (katil) dalam keadaan mengadap kiblat dengan keadaan kedua tangannya di atas dada seperti qiam dalam sembahyang. 

“Dua perkara penting ketika memandikan jenazah ialah menghilangkan najis dan meratakan air. Prosesnya melibatkan peralatan seperti palung mandi, sabun, air daun bidara, air kapur barus, tuala, kain basahan, kapas dan tirai.

“Ketika memandikan jenazah lakukan dengan lemah lembut dan penuh kasih sebab itulah anak-anak paling sesuai untuk memandikan ibu ayah dan pastikan aurat terjaga,” ujarnya.

Proses kafan pula melibatkan peralatan seperti kain putih bidang 60, kapas, tali pengikat, 3 helai kain bagi lelaki dan 5 helai kain bagi perempuan, gunting, dan wangian seperti cendana, kapur barus, daun pandan atau air mawar.

Sementara itu, Pembantu Hal Ehwal Islam, Syahril Fazli Mat Hussain berkata, pengurusan jenazah merupakan fardhu kifayah yang dituntut dan memainkan peranan penting dalam sesebuah masyarakat.

“Bagi melaksanakan fardhu kifayah, proses pencarian sukarelawan diteruskan dalam kalangan staf dari pelbagai jabatan untuk menyertai pasukan pengurusan jenazah yang dianggotai oleh staf terutamanya apabila berlaku kematian dalam kalangan warga UUM,” tambahnya.

Justeru, inisiatif Kursus Pengurusan Jenazah 2023 anjuran Majlis Kebajikan, Sukan dan Kebudayaan (MKSK) dengan kerjasama Pusat Islam di Masjid Sultan Badlishah, UUM penting bagi memberikan teori dan amali pengurusan jenazah serta menyeragamkan persoalan hukum-hakam.  

Kursus ini mendedahkan kemahiran pengurusan jenazah yang teratur dan menepati syariat kepada warga kerja UUM dan ternyata sangat mudah untuk diaplikasikan.

Manakala peserta, Azam Arni Mohd Noor berkata, kursus ini mendekatkan diri pada rasa kehambaan yang memberi keinsafan betapa kerdilnya kita di dunia ini.

“Orang yang paling bijak ialah orang yang paling banyak mengingati mati dan melakukan persediaan menghadapinya, sesungguhnya ilmu yang ditimba ini amat bermanfaat untuk diri dan masyarakat,” katanya.