Alumni    •    Vacancy

BANTU MANGSA BAH CUCI RUMAH, EDAR BANTUAN

3UUM ONLINE: Sukarelawan Universiti Utara Malaysia (UUM) turun padang membantu mencuci rumah, sekolah, mengagihkan bantuan makanan dan kesihatan kepada mangsa banjir. 

Pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat, Muhammad Faris Fitri Mohd Suhaimi berkata, pasukan ini membantu membersihkan rumah bagi meringankan beban yang ditanggung dalam bencana yang menjejaskan sebahagian penduduk.

Jelasnya, usaha ini tertumpu di kawasan yang dilanda banjir besar seperti Segamat, Tangkak, Batu Pahat, Caah, Kluang, Muar, Labis, Skudai dan Paloh.   

“Banjir di daerah Segamat kali ini adalah antara yang paling buruk dalam sejarah, menurut penduduk, banjir kali ini sangat dahsyat serta memberi kerugian besar kepada penduduk yang kehilangan harta.

“Air naik dengan laju dan banyak tempat yang tidak pernah dinaiki air turut ditenggelami air pada paras yang agak tinggi,” ujarnya.

Seawal 8 pagi pasukan sukarelawan membantu membersihkan rumah termasuk membuang sampah, memberus lantai yang berlumpur, membersihkan barang keperluan yang masih boleh digunakan, mengalihkan peralatan dari bilik supaya lebih senang untuk melakukan kerja pembersihan, cuci pinggan mangkuk serta mengemas barangan.

Bagi memudahkan urusan pembersihan beberapa peralatan digunakan seperti ‘waterjet’, kereta sorong, penolak air, berus cuci, dan penarik longkang.

“Sememangnya fasa pembersihan memakan masa dan memerlukan tenaga yang ramai  dengan selut tebal , timbunan sampah namun kami dapat melakukan secara bersama-sama dalam pasukan. 

“Apabila kami datang untuk membantu mereka untuk membersihkan rumah dan memberi bantuan, mereka terkejut bila tahu kami datang dari Sintok Kedah yang terletak jauh di utara,” katanya yang berasal dari Kelantan. 

Muhammad Faris turut berkongsi cerita bertemu OKU yang terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda untuk bergerak. Ketika kejadian separuh rumahnya ditenggelami air namun dia tidak sempat menyelamatkan barang sehingga hampir kesemua barangan terpaksa dibuang. 

Manakala Pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Nurul Ashyiera Hisham sebak menyaksikan suasana pasca banjir yang dipenuhi lumpur serta kerosakan harta benda yang memberi keinsafan.  

“Sedih bila tengok rumah yang tenggelam sepenuhnya bermakna mereka tidak dapat selamatkan banyak peralatan kerana tidak sempat untuk alihkan barang akibat kenaikan air yang cepat berbanding insiden banjir sebelum ini. 

“Kebanyakan kawasan yang telah surut di setiap jalan yang digunakan untuk sampai ke kawasan pembersihan dipenuhi timbunan perabot dan barang yang rosak selain kelihatan bangkai haiwan yang tidak dapat diselamatkan. 

“Semasa hampir sampai, beberapa jalan terpaksa ditutup akibat daripada kerosakan namun bila kita punya niat yang baik Allah selalu beri jalan dan kami berjaya sampai dengan menggunakan laluan alternatif,” kongsinya.  

Selain itu, gangguan sumber air untuk membersihkan kawasan di Balai Kebajikan Kg. Jawa, Taman Seri Medoi juga satu cabaran namun, dengan bantuan Majlis Perbandaran Segamat usaha pembersihan dapat diteruskan. 

“Kami berasa bahagia melihat senyuman terukir di wajah ceria mangsa banjir selepas selesai membersihkan kawasan rumah mereka, kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” luahnya.