Alumni    •    Vacancy

BANJIR KILAT: 16 RUMAH TERJEJAS DI PERUMAHAN KAKITANGAN UNIVERSITI DIBANTU

banjir kilatUUM ONLINE: Pihak universiti akan membantu mangsa banjir kilat di Perumahan Kakitangan UUM, Sisiran Sintok 1 yang terjejas ekoran hujan lebat melanda petang Isnin lalu.

Hujan lebat yang bermula kira-kira jam 3 petang itu berlarutan hampir dua jam menyebabkan 16 daripada 34 rumah yang didiami staf dan pelajar di kawasan tersebut dinaiki air serta terjejas teruk.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, berikutan bencana tersebut, pihak universiti telah menggerakkan jentera sukarelawan dan jabatan terlibat untuk kerja-kerja pembersihan di kawasan perumahan terlibat.

Menurutnya, kebanyakkan penghuni rumah di sini mengalami kerosakan seperti perabot, tilam dan peralatan elektrik yang diletakkan di tempat rendah.

"Bagaimanapun, kita bersyukur kerana keadaan kembali terkawal dan air kembali surut. Kita hanya meneruskan kerja-kerja pembersihan, selain pihak unversiti kini sedang berusaha mengumpul dana untuk membantu mereka yang terlibat dalam kejadian banjir kilat ini.

"Pada malam kejadian ini berlaku, kita juga telah menghulurkan bantuan segera seperti toto dan bantal khususnya kepada pelajar dan warga universiti yang terkesan, malah semua pelajar telah diberikan pelepasan untuk menghadiri kelas secara dalam talian bermula 15 sehingga 17 November," katanya selepas meninjau rumah terjejas di Perumahan Universiti, dekat sini.

Tambah Haim Hilman, kejadian banjir kilat itu adalah antara yang terburuk berbanding sebelum ini disyaki berpunca dari air bukit deras melimpah sehingga masuk ke kawasan perumahan.

Menurutnya, pengurusan universiti akan berusaha untuk menangani masalah tersebut dengan mengambil langkah seperti mendalamkan longkang-longkang di kawasan perumahan serta membantu mengekang perkara berulang.

Justeru, katanya, UUM akan bekerjasama rapat dengan agensi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) agar masalah banjir kilat itu dapat dibendung.

"Melihat cuaca semasa yang tidak menentu, saya mengingatkan agar semua warga universiti terutama yang tinggal di perumahan ini agar mengambil langkah sewajarnya untuk pergi ke tempat lebih selamat sekiranya hujan lebat semula dan kita telah menggerakkan jentera universiti untuk memberi bantuan pada kadar segera.

"Di samping itu, saya ingin berterima kasih kepada semua yang prihatin dalam konteks memberi sumbangan tenaga dan keperluan lain, begitu juga sukarelawan UUM terdiri daripada staf dan pelajar," ujar beliau.

Sementara itu, Pengawal Keselamatan, Mohd Parid Mhd Nor yang menceritakan kembali kejadian itu berkata, dia menyedari bahagian dapur rumahnya dinaiki air kira-kira jam 4.30 petang disebabkan hujan lebat sejak jam 3 petang.

Menurutnya, sejak tinggal di situ, kejadian tersebut merupakan yang kedua pernah dilaluinya sekeluarga, namun dia bersyukur kerana tiada sebarang kerosakan teruk yang ditanggung.

Turut serta dalam tinjauan itu ialah Pengarah MKN Negeri Kedah, Mohd Zawawi Zakaria dan pegawai-pegawai kanan UUM.