Alumni    •    Vacancy

40 PESERTA PELAJARI ILMU PEMASARAN DIGITAL

bengkel pemasaranUUM ONLINE: Alor Setar - Mungkin tidak ramai yang pernah mengetahui atau didedahkan tentang pemasaran digital terutama ketika ingin memasarkan barangan mahupun perkhidmatan mereka kepada orang ramai.

Kesempatan itu, Unit Pemasaran, UUM Corporate Communication telah menganjurkan Bengkel Pemasaran Digital dan Kandungan Tentatif di Kompleks Belia dan Sukan, baru-baru ini sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Kedah.

Ketua Unit Pemasaran, Azizi Arif berkata, bengkel ini bertujuan untuk membuka pandangan semua pihak terutama pelajar tentang pemasaran digital di Malaysia.

Menurutnya, peserta terdiri daripada pelajar Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin itu mengikuti bengkel yang dibahagikan kepada tiga segmen iaitu Bengkel Asas Penghasilkan Kandungan Kreatif Grafik, Bengkel Asas Penghasilkan Video dan Suntingan, Kelas Asas Pemasaran Atas Talian.

"Sepanjang bengkel, tiga penceramah berkongsi ilmu dan pengalaman kepada peserta tentang pemasaran digital, penghasilkan kandungan kreatif grafik serta pemasaran atas talian.

"Di samping itu juga, peserta bengkel dapat berlatih dan mempraktikkan pemasaran media sosial, pengiklanan paparan, pemasaran enjin carian dan sebarang media digital yang lain yang dipelajari," ujarnya.

Bagi Muhammad Emmer Darwish Jasmy, bengkel disertainya itu sangat menarik dan progresif kerana pada zaman sekarang, teknologi sangat memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian termasuk sekiranya ingin berniaga yang memerlukan kemahiran menguasai sesuatu teknologi itu.

"Saya mendapat banyak pengalaman baru yang benar-benar membuka mata saya dan peserta lain, jadi saya mahu berterima kasih untuk semua yang terlibat secara langsung mahupun secara tidak langsung.

"Sejujurnya, bengkel ini sepatutnya menjadi acara arus perdana supaya ia dapat memberi manfaat kepada bukan sahaja kepada pelajar mahupun beberapa kumpulan tetapi untuk orang ramai," katanya yang mengikuti bengkel itu sebagai peserta.

Tambah Muhammad Emmer lagi, program seperti itu memang memberi peluang yang sangat banyak khususnya kepada golongan remaja dalam mengembangkan ilmu pengetahuan berkaitan bidang pemasaran.

Majlis penutupan bengkel telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Media dan Pemasaran), Dr. Azahar Kasim yang seterusnya menyampaikan sijil penyertaan kepada 40 peserta terlibat.