LULUSAN UUM CIPTA PRODUK KECANTIKAN BERASASKAN BERAS ORGANIK

beras organikUUM ONLINE: Pandemik Covid-19 terus meragut jutaan nyawa malah secara tidak langsung telah merencatkan ekonomi dunia sehingga ramai terpaksa gulung tikar dan hilang pekerjaan.

Bagaimanapun, berlainan pula nasib Wan Rohani Wan Majid, lulusan Sarjana Sains Kaunseling dari UUM yang menyifatkan berniaga sewaktu PKP sungguh di luar jangkaan apabila jualan melonjak berlipat kali ganda dan semakin dikenali.

Pengasas sabun susu organik, Natuwrel itu mempertaruhkan sabun susu dan body mist sebagai ‘killer’ produk yang telah mendapat pensijilan halal JAKIM.

Produk menggunakan 100 peratus beras organik Negeri Kedah yang dibiayai oleh Lembaga Kemajuan Petani Muda (MADA) dan susunya diekstrak dari ladang beras organik mendapat pensijilan MyOrganic, Jabatan Pertanian. 

Selain dari susu beras, sabun ini juga menggunakan susu oat dan susu kelapa ditambah minyak kelapa dara, untuk memberikan efek lembap yang maksimum pada kulit, bagi membantu mencerah kulit, memudarkan parut, sesuai untuk bayi eczema, mempunyai fungsi antibakteria bagi mengatasi kulit sensitif.

Wan Rohani berkata, walaupun perniagaan fizikal ditutup, tapi jualan secara online sangat rancak misalnya, jualan semasa PKP 1.0 yang mana dalam satu malam sahaja jualannya meningkat tiga kali ganda disebabkan trafik penggunaan media sosial meningkat.

Menurutnya, dia mendapati kelemahan sebahagian peniaga ialah tidak merebut peluang yang disediakan selain tidak menguasai teknologi maklumat (IT) selari dengan perkembangan Revolusi Industri (IR4.0).

Katanya, ramai peniaga kecil sederhana (PKS) tidak mencuba untuk memasarkan produk secara online atau di pasar raya kerana sudah selesa dengan perniagaan fizikal tetapi siapa sangka apabila berlaku Covid-19, perniagaan fizikal tidak lagi boleh beroperasi.

“Sepatutnya peniaga perlu cepat berubah ke arah digital kerana banyak media sosial boleh buat pemasaran percuma yang penting selalu teroka dan cuba perkara baru.

“Disebabkan tidak mahu mencuba, jualan merosot teruk kerana sekarang ini kita tidak boleh tunggu pelanggan datang ke kedai kita, jadi kita perlu buat pelanggan selalu nampak kita di media sosial serta banyak platform e-dagang yang boleh digunakan seperti Shopee dan Lazada,” katanya yang turut berkongsi cabaran dilalui sebelum bergelar usahawan berjaya.

Kata Wan Rohani, dalam perniagaan pasti ada jatuh bangun adakalanya diuji terlebih dahulu sebelum mendapat rezeki besar atau durian runtuh terutama pada 2016 yang menguji perniagaannya.

Bagaimanapun, menurutnya, pada 2017 dia nekad tidak mengeluarkan produk dan mula mengatur strategi baharu mujurlah kewangan syarikat kukuh pada ketika itu untuk menampung kos operasi selama setahun.

“Besar manapun cabaran sehingga terduduk, kekal bertahan, cermin diri sendiri, perbaiki diri terutamanya hubungan kita dengan Allah dan sesama manusia, berhenti salahkan orang lain dan ujian tanda kasih sayang-Nya untuk menaikkan darjat kita.   

“Bila kita reda dengan apa yang terjadi, terus sabar, sembahyang, satu persatu pintu rezeki Allah buka,” ujarnya yang memiliki kelayakan sebagai Kaunselor Profesional.

Wan Rohani turut memperoleh geran dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang untuk mengelurkan Sabun Susu Beras Organic, selain sokongan untuk melancarkan produk Natuwrel di MAHA2018 seterusnya berkembang pesat. 

Kegembiraan berganda apabila menjalin kerjasama dengan penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk membangunkan kilang yang mendapat pensijilan Good Manufacturing Practice (GMP).

Beroperasi di Jenan, Jitra, Natuwrel kini memasuki kedai terpilih dan pasar raya AEON Store di seluruh Malaysia  selain menggunakan platform digital seperti Shopee, Facebook dan Wowshop, produknya turut menembusi pasaran dalam dan luar negara seperti Arab Saudi dan Singapura.

“Saya bersyukur dengan inisiatif kerajaan yang menghulurkan bantuan Geran Khas Prihatin yang digunakan untuk menambahbaik pembungkusan dan menghasilkan produk baru misalnya minuman berkhasiat, Daily Malt,” katanya.