OYAGSB Pelopori Kuliah Dalam Talian Di UUM

3UUM ONLINE: Seiring dengan ledakan teknologi yang berkembang pesat, Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), telah melancarkan kuliah dalam talian, semalam.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Yusnidah Ibrahim berkata, pembelajaran secara maya bakal menjadi satu ciri yang akan diterapkan oleh semua program pengajian dalam langkah membentuk graduan yang bersedia dengan teknologi masa depan di samping menjimatkan kos.

Menurutnya, pengenalan pembelajaran secara maya (virtual learning) adalah sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memperkenalkan Education 4.0 bagi menitik beratkan pembelajaran dalam talian dan pembelajaran fleksibel.

“Sebagai permulaan, hanya kursus program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Doktor Pengurusan Perniagaan (DBA) di UUMKL sahaja yang akan terlibat dalam pelaksanaan ini.

“Bagi kursus yang ditawarkan di Sintok, pelaksanaan akan dipertimbangkan setelah melihat keberkesanan pelaksanaan di UUMKL dijalankan,” katanya selepas merasmikan Pelancaran Kuliah Secara Dalam Talian di OYAGSB.

Beliau berkata, usaha ini adalah batu loncatan untuk program pasca siswazah secara maya dan satu strategi perkembangan pasaran untuk program MBA dan DBA.

“Misalnya, program OYAGSB boleh dipasarkan ke Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak kerana kekerapan untuk pertemuan bersemuka yang melibatkan logistik dapat dikurangkan.

“Kaedah ini juga membolehkan UUM meluaskan pasaran dalam kalangan mereka yang bekerjaya tetapi tidak boleh memberi komitmen sepenuhnya untuk menghadiri kelas secara bersemuka di kampus,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut berpeluang berinteraksi bersama pelajar dari pelbagai lokasi yang berbeza secara maya menerusi perkhidmatan yang disediakan oleh UUMIT.

Sementara itu, Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Shahizan Hassan berkata, OYAGSB merupakan pusat pengajian pertama di UUM yang melaksanakan kuliah dalam talian secara formal.

“Pembelajaran dalam talian atau online classroom merupakan suatu kaedah yang telah mula dijadikan medium pengajaran oleh universiti di Malaysia.

“Justeru, OYAGSB melaksanakan kuliah dalam talian dengan menggantikan kelas bersemuka secara fizikal di OYAGSB Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, pelajar MBA, Farra Nur Hidayah Ahmad menyambut baik inisiatif yang dibuat oleh OYAGSB yang bergerak seiring perkembangan terkini teknologi maklumat.

Menurutnya, dia dan rakan pelajar lain amat teruja dan mengucapkan terima kasih kepada UUM dan OYAGSB yang mengambil inisiatif mengadakan kelas secara atas talian yang mana kini pelajar boleh mengikuti kelas dengan lebih mudah dan interaktif.

Hadir sama, Pengarah UUMIT, Prof. Dr. Abdul Malek Abdul Karim; Pengarah Pusat Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC), Prof. Madya Dr. Muhamad Shahbani Abu Bakar dan Pengarah Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Prof. Madya Dr. Halim Mad Lazim.