Penjawat Awam Perlu Lebih Responsif Dan Relevan

mukhrizUUM ONLINE: Alor Setar - Penjawat awam di negeri Kedah diingatkan supaya perlu menjadi lebih responsif dan sentiasa bersedia berkhidmat untuk rakyat. Menteri Besar, Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, era globalisasi pada masa kini memberi kesan kepada sektor perkhidmatan awam. "Penjawat awam merupakan nadi penggerak dan tulang belakang kerajaan dan kita perlu memastikan perkhidmatan awam sentiasa relevan seiring dengan perubahan semasa. "Konsep penyampaian perkhidmatan juga perlu segera berubah dan kajian berterusan terhadap proses dan prosedur kerja perlu dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan yang berkualiti disampaikan kepada pemegang taruh atau stakeholders dan pelanggan," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Pagi dan Program Hari Bertemu Pelanggan Pejabat Setiausaha Kerajaan Tahun 2020 di Dataran Medan Bandar, pagi tadi. Beliau berkata, penggunaan modal insan secara optimum perlu ditingkatkan dan menjadi pegangan semua agensi kerajaan supaya penjawat awam dapat membantu kerajaan dalam membangunkan negeri. Menurutnya, penjawat awam juga perlu berfikiran lebih terbuka, inovatif, kreatif, sentiasa dinamik, memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta memahami dasar-dasar kerajaan semasa supaya dapat bergerak seiring dengan pucuk kepimpinan. Katanya, peranan penjawat awam dalam konteks pembangunan negeri memang tidak dapat dinafikan dan kejayaan satu-satu program kerajaan bergantung sepenuhnya kepada komitmen dan kesungguhan penjawat awam. "Selain itu, untuk merealisasikan perkhidmatan yang berkualiti, penjawat awam perlu mengetepikan budaya kerja secara silo. Kakitangan kerajaan awam tidak boleh mendahulukan kepentingan jabatan mereka sahaja, sebaliknya perlu bekerjasama antara satu sama lain dari jabatan dan agensi lain. "Penjawat awam juga tidak perlu merasa terbeban dengan tugas hakiki yang dilakukan, sebaliknya ambillah pendekatan positif dan sikap bertanggungjawab dengan menggalas tugas dan amanah yang telah diberikan kerana kerja adalah satu ibadah," katanya yang turut menekankan nilai integriti dan keutuhan peribadi pada setiap penjawat awam agar perkhidmatan awam dihormati, dipandang tinggi dan diyakini oleh rakyat. Dato' Seri Mukhriz juga menyeru kepada semua supaya meneliti proses dan prosedur kerja agar lebih mesra pelanggan dan dapat memenuhi kehendak rakyat. Tambahnya, keutamaan harus diberikan kepada golongan sasar dalam apa-apa inisiatif yang dilaksanakan bagi memastikan rakyat mendapat manfaat dan tidak terpisah daripada perkhidmatan yang diberikan. Selepas perhimpunan pagi itu, Menteri Besar telah melawat booth pameran yang melibatkan 60 agensi kerajaan sempena Hari bertemu Pelanggan yang menjadi platform kepada masyarakat untuk menyuarakan aduan dan cadangan bagi meningkatkan lagi perkhidmatan yang diberikan oleh kerajaan. Universiti Utara Malaysia telah diwakili staf dari UUM Corporate Comm. dan Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe).