Kelab Patriot Chapter Perlis (KPCPs) UUM Sampaikan Sumbangan Kepada Petugas

LAYOUT PERLISUUM ONLINE: Sempena sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi, Kelab Patriot Chapter Perlis (KPCPs) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyampaikan sumbangan kepada pasukan perkhidmatan St. John Ambulans Negeri Perlis (SJAM Ps) yang akan bertugas pada hari perayaan tersebut mulai hujung minggu ini.

Presiden KPCPs, Muhammad Tasnim Abd Razak berkata, sumbangan air mineral itu adalah bagi kegunaan petugas dan mereka yang dibantu ketika menggunakan jalan raya atau lebuh raya di negeri ini.

“Beberapa ahli KPCPs akan turut bertugas dua hari sebelum dan selepas perayaan Tahun Baru Cina di negeri ini,” katanya selepas penyerahan empat kotak air minuman kepada Pengerusi Perkhidmatan Ambulans Perlis, Dr. Yusri Yahya.

Sementara itu, Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dr. Masuddi Mahmuddin ketika ditemui berterima kasih kepada pasukan SJAM Ps kerana memberi peluang kepada mahasiswa UUM yang berasal dari Perlis untuk turut berbakti kepada penduduk negeri kelahiran mereka.

Katanya, tugasan sempena cuti perayaan seperti ini memerlukan semangat kesukarelaan dan pengorbanan yang tinggi, tambahan pula mereka kini sedang cuti semester.

“Saya melihat ini sebagai satu langkah terbaik, bukan sahaja membantu masyarakat malah membabitkan diri dengan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Pada masa sama, Dr. Yusri Yahya berterima kasih kepada UUM kerana membenarkan pelajarnya untuk turut serta dalam program kebangsaan ini.

Menurutnya, setiap tahun pasukan SJAM dari seluruh negara akan menjalankan tugasan perkhidmatan selama 24 jam iaitu dua hari sebelum dan selepas perayaan besar di negara ini.

Katanya lagi, perkhidmatan ini adalah bagi membantu pengguna lebuh raya dan jalan raya di seluruh negara sekiranya terlibat dengan kemalangan jalan raya.

Bagi menyelaraskan tugasan di negeri Perlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd Jalil menyediakan bilik gerakan termasuk jamuan kepada semua petugas di Pusat Khidmat Rakyat DUN Sena itu.

Bagi mereka yang ingin menyalurkan sumbangan atau menyertai pasukan ini sebagai sukarelawan boleh menghubungi talian 013-3081948, 016-4463461 atau 010-6570507 untuk keterangan lanjut.