10,000 Langkah Menuju Puncak Vista Dan Tanam Pokok

EDIT 1UUM ONLINE: Menghayati keindahan alam semulajadi kampus hijau sambil berjalan beramai-ramai menjadi satu pengalaman yang cukup bermakna sekali gus mempromosikan gaya hidup sihat.

Biro Sukan Dan Rekreasi Chance Club, Adilah Ishak berkata menerusi aktiviti santai ini peserta dapat meluangkan masa beramah mesra setelah bertungkus lumus bekerja di pejabat yang mengukuhkan silaturahim dalam membina pasukan kerja yang mantap.

“Cuaca begitu baik, memang best jalan kaki beramai-ramai sambil menghirup udara segar, embun pagi dan kicauan burung di samping badan lebih sihat dan cergas.

“Kemeriahan terasa dalam suasana mesra seperti sebuah keluarga diserlahkan melalui aktiviti sebegini memandangkan UUM memerlukan staf yang sihat dan energetik untuk menjamin produktiviti kerja demi mencapai kecemerlangan,” katanya pada program 10,000 Steps Walk 4 Health anjuran Kelab Canselori (Chance Club).

Menurutnya, perjalanan bermula seawal 8 pagi dari Jabatan Canselori merentasi jalan raya melalui taman burung unta, Laluan A, Persiaran Perdana, Inasis Maybank menuju ke Puncak Vista bagi menjalankan gotong-royong untuk menanam pokok di sekitar Puncak Vista.

Dengan bimbingan Penolong Pemelihara Hutan, Jabatan Pembangunan dan Penyengaraan (JPP), Amran Mahmud, beberapa pokok telah ditanam seperti durian, kepala pandan dan aneka herba yang mempunyai khasiat untuk kesihatan.

Sementara itu, Pegawai Undang-undang, Nur Syazwani Muhammad terpesona dengan keunikan panorama, flora dan fauna sekali gus menyedari terdapat banyak tempat menarik yang boleh dilawati di sini.

“Rupa-rupanya banyak tempat menarik di UUM yang boleh dijadikan tempat rekreasi dan aktiviti riadah untuk merehatkan minda sambil menyaksikan kecantikan alam merentasi hutan menghijau sekali gus melahirkan rasa syukur melihat kebesaran Allah.

“Pemandangan yang mengasyikkan, suasana yang damai dan menenangkan sesuai untuk aktiviti riadah yang sesuai menjadi destinasi menarik untuk diterokai,” ujarnya.

Tambahnya, keindahan UUM merupakan daya tarikan aktiviti rekreasi dan sudah menjadi tanggungjawab kita untuk bersama memastikan persekitaran UUM kekal terpelihara demi kelestarian alam sekitar.