Kepakaran UUM Bantu Syarikat Austria Perolehi Sijil Halal

image005UUM ONLINE: Pakar teknikal halal dari UUM, Dr. Risyawati Mohamed Ismail komited membantu syarikat pengeluar minuman di Kinberg, Austria sehingga berjaya memperoleh status halal, baru-baru ini. Ujarnya, UUM merupakan universiti yang mempunyai pelbagai kepakaran sehingga menarik pelbagai pihak termasuk syarikat dari luar negara yang berminat untuk bekerjasama dalam pelbagai projek. “Salah satu kepakaran UUM yang mendapat perhatian adalah kepakaran teknikal dari aspek pembangunan fasiliti dan pensijilan halal yang direalisasikan melalui kerjasama di bawah program ASEA UNINET yang dikelolakan oleh Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) dan saya sendiri,” ujarnya. Menurutnya yang juga Pengarah Food Security, Innovation and Development Research Centre(FInDER) dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi Pengurusan dan Logistik (STML), kerjasama ini melibatkan pembangunan kilang bertaraf halal di sana. Dalam kerjasama itu, beliau menaiktaraf syarikat Knorr-Kohlhofer KG bagi memenuhi spesifikasi halal mengikut piawaian antarabangsa yang mengambil masa selama seminggu. Sepanjang tempoh itu, Risyawati telah membentuk sistem dan operasi pengilangan halal di fasiliti sedia ada Knorr-Kohlhofer KG seterusnya memberi latihan intensif dan memantau perjalanan operasi pembuatan produk bagi memastikan syarikat tersebut patuh kepada Halal Assurance System (HAS) yang merupakan keperluan wajib untuk memperolehi pensijilan halal. Syarikat Knorr-Kohlhofer merupakan syarikat pengeluar minuman berasaskan madu asli Austria yang berkualiti tinggi dan produk- mereka telah dipasarkan secara runcit di pasaraya di sekitar Austria. Bagi mendapatkan pensijilan halal, syarikat di Austria perlu melalui proses pensijilan halal yang ketat dan lulus audit pensijilan daripada pihak Islamic Information Documentation and Certification (IIDC) yang merupakan Certification Body (CB) yang diiktiraf oleh JAKIM, Malaysia. Selain itu, syarikat ini juga perlu memenuhi keperluan spesifikasi keselamatan makanan Eropah yang sangat tinggi. “Projek ini amat mencabar kerana kita perlu memenuhi dua piawaian antarabangsa serentak, alhamdulillah dengan pengalaman, pengetahuan dan izin-Nya, usaha ini mampu dilaksanakan,” katanya. Lebih mengujakan, hasil daripada audit oleh IIDC, Syarikat Knorr-Kohlhofer telah menerima sijil halal pada 27 Disember lalu. Dalam pada itu, Pengarah CIAC, Prof. Madya Dr. Mohamad Farizal Rajemi bersyukur dan meluahkan rasa gembira apabila kerjasama ini berjaya dilaksanakan. Beliau berharap agar lebih banyak lagi pihak luar terutamanya daripada universiti, agensi dan syarikat antarabangsa yang akan mendapatkan khidmat kepakaran daripada tenaga akademik UUM. Selain daripada menguruskan pelajar antarabangsa UUM, CIAC telah berjaya mengetengahkan UUM ke peringkat global melalui kerjasama dengan pelbagai pihak.