Suara Anak Muda Bantu Perkasakan Peranan Kerajaan Negeri

image003UUM ONLINE: Belia memainkan peranan penting dan pelapis yang akan menentukan masa depan negara justeru itu, Kerajaan Negeri Kedah mengambil kira pandangan anak muda dalam menjadikan perancangan negeri lebih berkesan.

Buat julung kalinya, Sidang DUN Belia Negeri Kedah 2019 telah berlangsung di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Aman.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir Mukhriz berkata, sesi ini menjadi salah satu platform yang memberi peluang kepada belia bersuara secara rasmi pada DUN sekali gus membantu memperkasakan peranan kerajaan negeri Kedah.

“Sebagai wakil belia saya berharap gunakan peluang keemasan ini untuk ikhlas dalam berhujah dan ahli DUN belia berbahas dengan hati dan tidak terlalu kepartian.

“Pandangan yang diutarakan oleh anak muda yang memberi impak terhadap masa depan akan dibahas dan dipersetujui sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri,” katanya ketika merasmikan sidang tersebut.

Sementara itu, Nor Azli Abdul Aziz dari UUM Corporate Communication (Corporate Comm.) berkata, UUM sentiasa berusaha memastikan kepimpinan belia sentiasa berkredibiliti dan berketerampilan untuk mengangkat pelbagai isu terutamanya di negeri Jelapang Padi itu.

“Sepanjang persidangan, mahasiswa telah menunjukkan komitmen yang tinggi di samping mengutarakan pelbagai idea bernas dengan penuh keyakinan.

“Kemahiran soft skill amat penting dalam membentuk pelajar yang dinamis demi melahirkan pemimpin pelapis di masa akan datang di kalangan belia kita kerana kebolehan menjadi pemimpin ini memerlukan lebih dari segulung ijazah,” katanya.

Manakala Siswi Pendidikan Pengurusan Perniagaan, Amirah Balqis Noor Azman, 19, teruja menyertai persidangan belia yang pertama dalam sejarah negeri Kedah dan bersidang di tempat persidangan yang sebenar.

“Banyak perkara yang ditimba misalnya melihat bagaimana sesi bersidang, prosedur parlimen kerana kami bersidang mengikut acara majlis yang sebenar, menambah ilmu dan berkenalan dengan ramai orang.

“Sebelum masuk bersidang, saya telah membuat persediaan awal dan mendapat idea daripada pembacaan akhbar serta sedikit kajian yang dibuat mengikut tema sidang.

“Saya juga rasa bangga kerana dapat mewakili rakan-rakan untuk menyampaikan suara dan hasrat belia,” ujarnya.

Hadir sama, mahasiswa dan staf UUM dari Jabatan Canselori, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan UUM COLGIS.