Hasil Jualan Tudung Taja Sarapan Percuma

image002 1UUM ONLINE: Kaya dengan sifat pengasih dan prihatin terhadap mahasiswa yang memerlukan mendorong Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) membuat jualan amal demi memberi sarapan percuma setiap pagi.

Pengarah Projek, Dr. Adibah Ismail, menerusi Projek Jualan Amal Tudung Terpakai yang dianjurkan oleh Jabatan Komunikasi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Jabatan untuk membantu para pelajar yang memerlukan.

“Dengan cara ini para pelajar SMMTC kini boleh menikmati sarapan percuma yang diedarkan setiap pagi selama dua minggu di sekitar foyer yang memberi tenaga dan menjadikan mereka lebih fokus dalam kuliah.

“Antara menu sarapan yang disediakan seperti nasi lemak, bihun goreng, roti, minuman kotak dan air mineral turut menampilkan menu yang berbeza setiap hari bagi memberikan kelainan kepada pelajar.

Menurutnya, idea projek ini dicetuskan oleh Ketua Jabatan Komunikasi, Prof. Madya Dr. Haslina Halim mensasarkan agar Jabatan menganjurkan aktiviti berbentuk khidmat masyarakat untuk menggalakkan penglibatan aktif kakitangan akademik memberi sumbangan kepada komuniti setempat bermula dari dalam kampus terlebih dahulu.

“Projek Jualan Amal Tudung Terpakai telah mendapat sumbangan yang memberangsangkan daripada individu yang bermurah hati mendermakan tudung-tudung terpakai untuk dijual dalam jualan amal tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, tudung terpakai pelbagai fesyen dijual seperti selendang dan tudung segera termasuk daripada jenama terkenal yang dijual serendah RM5, RM3 dan RM1.

“Saya sangat hargai sokongan para penyumbang. Bukan sahaja kotak sumbangan tudung yang diletakkan di foyer sentiasa penuh malah penyumbang dari seluruh negara juga sanggup menghantar sumbangan mereka melalui pos.

“Terima kasih juga kepada staf atau pelajar yang telah sudi membeli tudung-tudung terpakai tersebut bagi menyumbang dana kepada projek khidmat masyarakat yang dirancang oleh Jabatan,” katanya.

Memandangkan sambutan yang diterima sangat menggalakkan, Jabatan bercadang untuk meneruskan Projek Amal Jualan Tudung ini bagi mencari dana untuk disalurkan kepada pelajar yang memerlukan.

Selain sarapan percuma, sebahagian lagi wang kutipan hasil jualan tersebut akan disalurkan kepada komuniti yang memerlukan melalui organisasi yang akan dikenal pasti kelak.