Semai Cinta Alam Sekitar Sambil Berbasikal

image002UUM ONLINE: Suasana meriah dan seronok mewarnai International Greenday Awareness apabila peserta mengayuh basikal letrik beramai-ramai sambil mengutip sampah sepanjang kawasan yang dilalui di UUM, Sintok baru-baru ini.

Program anjuran Pusat Kokurikulum UUM dengan kerjasama Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), UUM ini disertai seramai 62 pelajar yang terdiri daripada 45 pelajar UUM, 16 pelajar Prince of Songkla University (PSU), Kampus Trang, Thailand dan pelajar daripada Kyoto Sangyo University, Jepun.

Kayuhan bermula dari Pusat Kokurikulum, UUM merentasi jalan raya, jalan kecil sebelum berhenti di beberapa checkpoint seperti Varsity Mall bagi mengumpulkan sampah-sarap untuk diserahkan kepada pihak pembersihan.

Seterusnya peserta kayuhan bergerak ke checkpoint yang kedua iaitu di Restoran De Tasek untuk melakukan aktiviti mengutip sampah dan pembersihan di sekitar kawasan tasik.

Program kayuhan basikal berakhir di Pusat kokurikulum, UUM yang turut disertai Mejar Norazilah Aziz, Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum, UUM, Khairul Anuar Adnan, Penyelaras Summer Program SEFB PSU, Trang, Thailand serta staf Pusat Kokurikulum. Pelajar Pengurusan pelancongan dari PSU, Suppakon Sangkarat teruja dapat menyumbang bakti melalui aktiviti bergotong-royong yang memupuk semangat kesukarelawan dan sikap prihatin terhadap penjagaan alam sekitar.

“Cuaca begitu baik, memang seronok kayuh beramai-ramai sambil menghirup udara segar, saya gembira kerana bukan sahaja dapat beriadah mempromosikan gaya hidup malah didedahkan tentang cara-cara menjaga alam sekitar dan mengutip sampah seperti botol dan plastik demi melindungi alam sekitar.

“Program ini sangat bagus kerana memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kepentingan menjaga alam, menyihatkan badan serta menjadi terapi kepada pelajar setelah penat belajar.

“Saya sedar yang kita tidak boleh mengubah orang lain jadi kenapa tidak kita bermula dengan diri kita terlebih dahulu dengan menunjukkan sikap yang baik untuk dicontohi,” kongsinya.

Katanya, setiap insan perlu mengubah mentaliti bahawa ini bukan kerja tukang cuci sahaja tetapi tanggungjawab bersama dalam menjaga kelestarian alam kerana pencemaran alam mengundang bahaya kepada semua pihak.

Suppakon menyeru supaya semua pihak mengurangkan penggunaan plastik, botol, straw dan buatan plastik yang memudaratkan alam sekitar selain berharap program ini memberi dorongan kepada orang lain agar prihatin terhadap alam.

Dia turut terpesona dengan keindahan UUM sekali gus menyedari terdapat banyak tempat menarik yang boleh dilawati sebagai tempat riadah, rekreasi dan bersukan.

“Keindahan UUM merupakan aset dan daya tarikan aktiviti rekreasi jadi kita perlu memastikan persekitaran UUM yang indah ini kekal terpelihara,” ujarnya.

Menurut pengarah program, Zamri Mansor, program ini memberi pengalaman baru kepada pelajar menggunakan perkhidmatan basikal elektrik yang disediakan.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan di kalangan warga kampus terutamanya yang ingin mencuba basikal elektrik yang sangat efisyen dan mesra pengguna,” ulasnya.

Kongsinya, aktiviti berbasikal merupakan senaman yang ideal untuk merehatkan minda, menjaga jantung, meningkatkan kecergasan serta mengelakkan penyakit lain.

Tambahnya, acara ini membolehkan para peserta berkenalan dengan pelajar antarabangsa sekali gus meningkatkan lagi hubungan sesama mereka.

Siswi Pengajian Sains Ekonomi, Siti Nuradiera Rosli, salah seorang buddies kepada pelajar PSU ini juga berkongsi pengalaman berharga dalam mengikuti program ini.

“Tanggungjawab untuk menjaga dan memulihara alam sepatutnya melibatkan semua pihak malangnya ramai yang tidak menghiraukan alam sekitar dan sedikit kecewa dengan tindakan orang awam yang membuang sampah merata-rata sesuka hati.

“Tin kosong, botol, bekas menjadi kawasan pembiakan nyamuk Aedes jadi marilah kita sama-sama memastikan kebersihan kampus yang selamat dan bebas dari virus yang disebarkan oleh nyamuk Aedes sekali gus membendung wabak denggi dan seumpamanya.

Tambahnya, program ini memberi galakkan kepada diri untuk terus menjaga kebersihan alam sekitar sambil menyaksikan kecantikan alam semulajadi merentasi hutan menghijau.