SAHUT CABARAN BINA POTENSI DENGAN AXIATA

axiataUUM ONLINE: Pelajar Sarjana Muda Kewangan, Muhammad Saniy Samsudin menyahut cabaran membina potensi diri apabila dipilih menyertai Axiata Foundation University Leadership Development Programme (ULDP) 2020.

Menurutnya, dia berbangga apabila terpilih untuk menyertai ULDP yang diketahui agak sukar untuk menjadi sebahagian program berikutan persaingan yang sengit.

“Namun saya bertuah kerana terpilih dan saya mengambil peluang ini untuk mengasah bakat kemahiran kepimpinan, dan membina kemahiran kritikal seperti komunikasi, pemikiran kritis serta kreativiti yang meningkatkan prospek kerjaya, selain dapat membina jaringan dengan rakan-rakan dari pelbagai negara yang berbeza latar belakang.

“Sepanjang program ini, saya bersama peserta lain didedahkan dengan tugasan mencabar seperti cabaran perniagaan, sidang media dan belajar daripada ahli perniagaan melalui sesi kepemimpinan dan perkongsian pengetahuan,” katanya.

Muhammad Saniy berkata, dia berterima kasih kepada UUM dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar kerana memberi sokongan sehingga dia dapat menyertai ULDP itu.

ULDP merupakan program pengembangan kepemimpinan untuk pelajar Malaysia yang belajar di dalam atau luar negara dengan memberi peluang untuk mempelajari kemahiran dan pengetahuan kritikal yang diperlukan.

Berikutan penularan pandemik Covid-19, program yang bermula dari 13 hingga 24 Julai itu dijalankan secara atas talian (online).