BINGKISAN RAYA BUAT FRONTLINERS TANDA PENGHARGAAN

Bingkisan rayaUUM ONLINE: Tanpa petugas barisan hadapan yang telah banyak berkorban, sudah pasti UUM sukar untuk menghentikan penularan wabak Covid-19.

Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, sumbangan barisan hadapan merupakan asas utama yang mendasari kejayaan kerajaan Malaysia dan UUM, khususnya untuk membendung penularan wabak tersebut.

Menurutnya, tanpa pengorbanan mereka, pastinya segala inisiatif dan langkah pencegahan yang dirancang tidak dapat dilaksanakan dengan sistematik dan berkesan.

Katanya, pengurusan universiti mengiktiraf, menghargai jasa dan sumbangan petugas barisan hadapan UUM yang membanting tulang dan mengerah tenaga sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga hari ini.

“Saya berharap agar semua frontliners ini akan terus memperkuatkan semangat dan menggembleng tenaga bersama-sama untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan universiti sentiasa terpelihara,” katanya pada Majlis Penyampaian Bingkisan Raya kepada Frontliners UUM dan Bayaran Zakat di Foyer Canselori, semalam.

Beliau berkata, bingkisan raya tahun ini juga istimewa kerana turut disertakan topeng muka inovasi dari SCIMPA dan cecair basmi kuman inovasi dari STML sumbangan Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) sebagai tanda penghargaan dan terima kasih pihak pengurusan universiti kepada mereka yang telah menyumbang bakti demi kesejahteraan warga kampus.

Selain itu, Naib Canselor juga merakamkan rasa syukur kerana kesemua pelajar telah selamat dihantar pulang dari Zon Utara ke kampung halaman masing-masing baru-baru ini.

“Syabas kepada pasukan yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta semua petugas barisan hadapan UUM yang terlibat sepanjang Ops Hantar Pulang Pelajar IPT dari Zon Utara, selain Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan Jabatan Keselamatan,” katanya.

Dalam kita menjalani ibadah puasa, tidak dilupakan kewajipan sebagai umat Islam untuk membayar zakat.

Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir berkata, zakat merupakan kewajipan atau fardu yang dituntut dalam Islam dan ia meninggalkan dampak tinggi untuk melestarikan ekonomi umat Islam serta membantu golongan miskin.

Di UUM, menurutnya, sumbangan zakat telah banyak membantu pelajar yang kurang berkemampuan.

Katanya, dengan adanya zakat fitrah, golongan fakir dan miskin dapat bersama-sama bergembira merayakan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.

“Tiada ucapan yang dapat menggambarkan kegembiraan mereka apabila dapat membeli makanan dan pakaian baharu, terutamanya kanak-kanak.

“Oleh itu, saya menyeru semua kakitangan yang bekerja di UUM agar dapat mengeluarkan zakat fitrah kepada amil yang bertauliah. Semoga amalan puasa kita menjadi lebih sempurna dengan adanya zakat fitrah,” katanya.

Seramai 158 staf dari lima pusat tanggungjawab terdiri PKU, Jabatan Keselamatan, UUMIT, Pusat Islam dan Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP) yang akan bertugas pada hari raya telah menerima bingkisan raya tersebut.